IPPO Hafiz tidak dinafikan adalah antara nama baharu yang sedang mewarnai industri muzik tempatan kini walaupun sudah lama bertapak dalam dunia seni. Lebih menarik, rata-rata lagu yang dicipta khas untuk dijadikan runut bunyi drama bersiri popular berjaya mencetuskan fenomena yang tersendiri. Biarpun namanya tidaklah sepopular karya-karya yang dihasilkan, bagi Ippo setakat ini sambutan itu sudah cukup buat dirinya bangga.

Katanya, Ada antara lagu-lagu saya dicipta khas untuk drama dan ada juga dihasilkan oleh saya sendiri berdasarkan pelbagai kisah. Saya seorang yang gemar membaca novel dan menonton drama pelbagai genre dan dari situlah pelbagai inspirasi yang saya dapat untuk hasilkan lagu. Alhamdulillah, populariti memang ada pada lagu-lagu yang saya hasilkan. Sebenarnya, itu sudah cukup buat saya bangga dan lega kerana tidak mustahil satu hari nanti, peminat lagu-lagu ini akan mengenali saya. Insya-ALLAH, saya tidak akan berputus asa untuk terus memperkenalkan diri sehingga peminat benar-benar mengenali siapa penyanyi lagu-lagu yang mereka suka. 

Setiap lagu yang dihasilkan oleh Ippo Hafiz nyata berjaya memberi kesan yang mendalam sekaligus memenuhi cita rasa pendengarnya. Antara drama yang menggunakan lagunya adalah Jika Itu Bukan Takdirku, Teman Lelaki Upahan dan Cinta Si Wedding Planner.