AMARAN BENDERA MERAH

3:54:00 pm





KUANTAN – Fenomena air pasang besar dijangka melanda kawasan perairan negeri ini bermula hari ini, justeru orang ramai dinasihatkan agar mematuhi tanda amaran yang diletakkan di kawasan pantai bagi mengelak berlakunya tragedi lemas.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Zainal Yusoff berkata, orang ramai perlu sentiasa mengambil langkah keselamatan terhadap anak-anak mereka apabila melakukan aktiviti perkelahan di kawasan pantai.

“Ibu bapa, penjaga atau mana-mana individu perlu peka dengan tanda amaran seperti pengibaran bendera merah agar tidak mandi bagi mengelak kejadian buruk.

“Sekiranya terdapat aktiviti bersama keluarga, ibu bapa atau penjaga perlu mengawasi anak-anak tanpa membiarkan mereka bermain sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya hanya boleh memberi amaran, namun terpulang kepada orang ramai untuk mengambil tindakan.

“Kita hanya boleh melarang, namun jika ada di antara mereka mahu terus mandi, kami tiada hak untuk melarang.

“Ada pengunjung yang akur, ada juga yang tidak menghiraukan. Tetapi apa yang saya harapkan agar mereka patuhi amaran dengan melihat benda yang dipasang,” katanya.

Katanya, kebiasaannya bendera merah dinaikkan apabila keadaan laut tidak sesuai untuk mandi dan keadaan musim laut bergelora.

“Kita naikkan bendera ini kerana keadaan laut dengan ombak besar berbahaya untuk sebarang aktiviti pantai,” katanya.

Zainal juga memberitahu terdapat anggota APM akan bertugas setiap hari bermula 9 pagi hingga 7 malam untuk memantau kawasan pantai.

“Empat hingga enam anggota yang kita tempatkan di kawasan pantai untuk memantau aktiviti di perairan di persisiran pantai,” katanya.

Pada 1 November lalu, Jabatan Meteorologi negeri menjangkakan negeri pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka menjadi mangsa musim monsun timur laut pada pertengahan November.

Jabatan itu memberi amaran air pasang sangat tinggi pada hari ini dan 14 Disember

Sinar Harian turut melakukan tinjauan di tinjauan persisiran di Teluk Chempedak dan Pantai Balok mendapati bendera merah masih dinaikkan bagi memberi amaran penduduk setempat dan pelancong supaya tidak melakukan aktiviti di kawasan tersebut bagi mengelak bencana.

Sepanjang pemerhatian Sinar Harian tiada sebarang aktiviti mandi-manda, sebaliknya hanya aktiviti riadah dilakukan oleh pengunjung di kawasan persisiran pantai itu.

Salah seorang pengunjung, Siti Aminah Aisyah Abdul Rahman, 29, berkata, dia amat peka dengan bendera merah yang dipasang oleh APM.

“Bila bendera merah dinaikkan itu menandakan ombak besar dan air pasang di kawasan pantai. Jadi saya datang ke sini, hanya untuk menghilangkan tekanan di samping bersuka ria dengan melakukan senaman atau aktiviti lain,” katanya ketika ditemui.

-SH

You Might Also Like

2 ngomen

  1. sekarang musim hujan . jadinya hati hatilah semua

    ReplyDelete
  2. Dah masuk musim hujan ni, kene berjaga-jaga..

    ReplyDelete

Penghantaran sebarang komen, permintaan, cadangan ATAU komunikasi lain yg lucah, sumbang, palsu, mengancam ATAU negatif dengan niat untuk menyakiti hati, menganiayai, mengugut ATAU mengganggu orang lain dengan ATAU tanpa mendedahkan identitinya adalah suatu kesalahan boleh didenda tidak melebihi 58 ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 1 tahun ATAU kedua-duanya sekali.

Popular Posts